Peteh GANU Peteh...!!!
Selamanya Harimau Malaya

Menjelang Final Piala Malaysia



Perlawanan Akhir Piala Malaysia Sabtu ini di Stadium Shah Alam antara Terengganu dan Negeri Sembilan mempunyai keunikan tersendiri kerana pertama kalinya kedua-dua pasukan ini bertemu di peringkat akhir sejak ianya diperkenalkan. Kali terakhir Terengganu mara ke perlawanan akhir adalah pada tahun 2001 dan berjaya menewaskan Perak 2-1 untuk mencipta sejarah membawa pulang piala berprestij itu ke bumi Terengganu buat pertama kalinya. Musim ini Terengganu sekali lagi berpeluang melakar sejarah muncul juara berganda setelah menjuarai Piala FA Jun lalu.

Jurulatih Terengganu Irfan Bakti berkata bagi menghadapi perlawanan ini beliau telah membuat persediaan yang rapi dan semua pemainnya bebas daripada kecederaan. Ketika ini para pemain Terengganu begitu bersemangat dan tidak sabar untuk menghadapi perlawanan akhir ini nanti. Tambah Irfan Bakti lagi kejayaan menyingkirkan Kelantan dan Selangor dalam laluan ke perlawanan akhir menjadi motivasi kepada pemainnya dalam menghadapi Negeri Sembilan.

Walau bagaimanapun beliau mengingatkan para pemainnya agar berpijak di bumi yang nyata dan tidak terbawa-bawa dengan kejayaan menewaskan gergasi bola sepak Malaysia ini. "Saya Cuma mengharapkan ketenangan daripada para pemain serta tumpu pada perlawanan apabila beraksi nanti, pasukan yang kurang membuat kesalahan dialah yang akan muncul sebagai pemenang" ujar Irfan Bakti.


Sementara itu salah seorang skuad 2001 yang juga kapten pasukan Marzuki Yusof ingin meneruskan kecemerlangan dengan membawa pulang trofi kedua ke Terengganu selepas menjuarai Piala FA dan menjadi kapten Terengganu kedua menjulang Piala Malaysia selepas Zulharisam Awang. Marzuki Yusof nyata belum puas dan mahu menambah koleksi pingat kemenangannya musim ini. Beliau serta rakan-rakannya yang lain berjanji akan bermain mati-matian untuk membawa kejayaan buat Terengganu.

Namun begitu beliau akur Negeri Sembilan bukanlah sebuah pasukan mudah untuk dihadapi kerana mereka mempunyai barisan muda dan berpengalaman yang begitu mantap di semua posisi. Marzuki Yusof berkata Terengganu tidak boleh leka dan perlu elak melakukan kesilapan serta waspada dengan kemampuan pemain Negeri Sembilan terutamanya Hairudin Omar. Jelas Marzuki Hairudin perlu di awasi kerana sedikit kelekaan, beliau mampu menjaringkan gol dan seterusnya memusnahkan harapan untuk menjulang trofi kedua musim ini.

Manakala bagi pemain sensasi Terengganu Ashaari Samsuddin yang belum pernah merasai nikmat bergelar juara Piala Malaysia menyimpan keazaman tinggi untuk mendakap Piala Malaysia musim ini. Ini merupakan pentas final Piala Malaysia pertama buat Ashaari yang mana sebelum ini hanya berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir sepanjang kariernya.

Ashaari menjelaskan akan memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ada dengan sebaiknya bagi membantu Terengganu muncul juara kali kedua dalam sejarah pertandingan Piala Malaysia. “Saya berharap misi membawa pulang trofi Piala Malaysia selepas muncul juara Piala FA dan naib juara Liga Super musim ini akan menjadi kenyataan kerana sudah 7 tahun mewakili Terengganu, saya masih gagal memburu mahkota kejuaraan piala berprestij itu”. katanya.


No comments:

Post a Comment