Terengganu membawa bekalan selesa ke Kuala Terengganu pada pertemuan kedua Sabtu ini apabila berjaya menewaskan Selangor 2-0 dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam malam tadi. Penyerang Terengganu Manaf Mamat menjadi wira pasukannya menerusi dua jaringannya di separuh masa pertama perlawanan.
Sepanjang aksi di separuh masa pertama kedua-dua pasukan mempamerkan corak menghiburkan dengan permainan pantas dan bertenaga. Seawal minit pertama Manaf Mamat menceriakan 5,000 penyokong Terengganu apabila menolak mudah bola ke pintu gol menewaskan Jeevananthan. Penyerang berbisa Terengganu ini menggunakan skil kawalan bola tanpa melihat ke arah pintu gol melepaskan sepakan melalui tumit belakang untuk gol pertama Terengganu. Tersentak dengan jaringan itu Selangor cuba bangkit dan mengasak ke kubu Terengganu namun kekebalan pertahanan Terengganu yang di ketuai Marzuki Yusof mengagalkan setiap serangan mereka untuk merobek pintu gol Sharbinee. Pada minit ke-32 sekali lagi Manaf Mamat menjadi duri dalam daging apabila rembatan leretnya menewaskan penjaga gol Selangor untuk gol kedua Terengganu.
Bersambung babak kedua corak permainan kedua-dua pasukan dilihat tampak seimbang namun kebijaksanaan dan kreativiti anak buah Irfan Bakti mengawal permainan menyukarkan setiap serangan Selangor. Beberapa serangan pantas yang dilakukan oleh jentera serangan Terengganu juga hampir menambah jaringan. Kedudukan 2-0 ini kekal sehingga tamat permainan.
Sementara itu di Kuala Terengganu T-Team gagal menggunakan kesempatan bermain di gelanggang sendiri apabila tewas kepada Negeri Sembilan 2-4. Anak buah Yunus Alif ternyata tenggelam dengan corak permainan agresif yang dipamerkan pasukan pelawat. Negeri Sembilan membuka tirai jaringan seawal minit ke-5 menerusi Shahurain Abu Samah setelah menerima umpanan cantik daripada S. Kunanlan. Walau bagaimanapun gol tersebut tidak mematahkan semangat T-Team apabila berjaya menyamakan kedudukan melalui Indra Putra pada minit ke-10. Bekas pemain T-Team Hairuddin Omar kembali meletakkan pasukannya di depan pada minit ke-25 setelah menanduk masuk untuk gol kedua Negeri Sembilan.
Semangat melawan T-Team nyata tidak luntur apabila Nor Farhan menceriakan penyokong T-Team untuk gol penyamaan pada minit ke-40. Kegembiraan T-Team hanya mampu bertahan selama dua minit apabila Hairuddin sekali lagi menjaringkan gol pada minit ke-42 sebelum S. Kunanlan pada minit ke-50 untuk gol ke empat Negeri Sembilan. Dengan keputusan ini sudah pasti tugas berat akan menanti anak buah Yunus Alif dalam pertemuan kedua di Paroi Sabtu nanti.
No comments:
Post a Comment