Kehangatan Piala Malaysia 2011 makin terasa apabila 2 pasukan dari Terengganu (Terengganu dan T-Team) akan membuat perhitungan dalam separuh akhir pertama malam ini. Kedua-duanya mempunyai satu misi iaitu memburu tempat ke perlawanan akhir. Terengganu akan bertandang ke Shah Alam menentang Selangor sementara T-Team menerima kunjungan Negeri Sembilan di Kuala Terengganu. Malam ini sudah pasti akan menjadi gelanggang percaturan buat Irfan Bakti dan juga Yunus Alif dalam merencanakan skuad terbaik mereka bagi menghadapi lawan yang memang diakui antara pasukan terbaik di Liga Malaysia.
Bagi Irfan Bakti pasukannya menghormati reputasi Selangor yang menjuarai Piala Malaysia sebanyak 32 kali namun tidak takut serta gentar untuk berdepan Selangor dan seterusnya melenyapkan ‘Misi 33’ mereka. Kejayaan menyingkirkan juara bertahan Kelantan di suku akhir telah memberi semangat dan keyakinan kepada pemainya bagi menghadapi perlawanan ini. Jelas Irfan Bakti kekuatan sebenar Terengganu adalah terletak kepada corak permainan berpasukan sepertimana yang dipamerkan ketika menentang Kelantan.
Dalam perlawanan malam ini Irfan Bakti akan memberi sepenuh kepercayaan kepada kesebelasan utama yang bakal diturunkan dan kehadiran semula Ismail Faruqi serta Zubir Azmi memberi lebih banyak pilihan kepada beliau. Apa yang pasti bahagian tengah Terengganu malam ini akan menjadi penentu kemaraan pasukan yang akan dikemudikan Joseph Kalang Tie, Ashaari Shamsudin, Resyafiq Alwi serta Ismail Faruqi. Irfan Bakti menyatakan Terengganu tidak boleh tenggelam dengan corak serangan Selangor kerana ianya akan memberi tekanan kepada pasukan. Para pemain perlu tenang dan fokus dalam perlawanan serta menggunakan setiap peluang yang ada untuk mendapatkan jaringan.
T-Team merupakan satu-satunya kelab yang berada di kolompok 4 pasukan terbaik Piala Malaysia musim ini yang mana di awal musim tidak diberi sebarang harapan untuk mara ke separuh akhir. Kini pasukan yang berpangkalan di Kuala Terengganu ini hanya selangkah lagi untuk mencipta sejarah pasukan kelab kedua yang berjaya ke perlawanan akhir Piala Malaysia selepas MPPJ. Menurut Yunus Alif keyakinan para pemainnya kini sudah berada pada tahap seratus peratus dan hanya menunggu peluang untuk menjadikan impian ke perlawanan akhir satu realiti. Walau bagaimanapun beliau mengingatkan para pemainnya tidak terlalu leka di atas kejayaan melangkah ke separuh akhir kerana pertembungan dengan Negeri Sembilan malam ini bukanlah sesuatu tugas yang mudah. Negeri Sembilan merupakan sebuah pasukan kental yang dibarisi barisan pemain berpengalaman serta pemain muda berbakat.
Tambah Yunus Alif lagi sejak beberapa tahun ini di dalam saingan Piala Malaysia Negeri Sembilan merupakan pasukan yang begitu menyerlah yang mana 2 kali berjaya ke perlawanan akhir. Peluang T-Team untuk mecipta sejarah adalah dengan memenangi perlawanan di Kuala Terengganu malam ini. Yunus Alif berkata jika pasukannya berjaya melepasi aksi di Kuala Terengganu dengan keputusan membanggakan sudah pasti akan memberi semangat serta keyakinan untuk pertemuan kedua nanti. Pada perlawanan malam ini T-Team akan menekankan corak menyerang dalam misi memburu seberapa banyak jaringan untuk di bawa ke Paroi. Tetapi dalam pada itu T-Team perlu berhati-hati agar tidak terperangkap dengan corak permainan lawan yang akan dipamerkan nanti.
No comments:
Post a Comment