Peteh GANU Peteh...!!!
Selamanya Harimau Malaya

Malaysia Pertahankan Pingat Emas



Jelas terpancar kegembiraan di wajah seluruh peminat bola sepak Malaysia malam tadi apabila Skuad Harimau Muda menewaskan Indonesia di perlawanan akhir acara bola sepak Sukan SEA dan seterusnya berjaya mempertahankan pingat emas yang di menangi dalam edisi lalu. Perlawanan yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno itu nyata mendebarkan sehinggalah kemenangan terpaksa di tentukan menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam tempoh 120 minit permainan.

Bermain di hadapan lebih 80,000 lautan merah anak-anak buah Ong Kim Swee jelas dapat menyerap segala tekanan serta mengimbangi permainan. Indonesia terlebih dahulu menjaringkan gol pembukaan menerusi tandukan Gunawan pada minit ke-5 permainan hasil sepakan penjuru. Gol tersebut nyata menyentap semangat pemain Harimau Muda dan terus memperkemaskan corak permainan untuk memburu gol. Hasilnya pada minit ke-35 Malaysia berjaya menyamakan kedudukan hasil tandukan Asrarudin Putra yang menyempurnakan hantaran lintang Baddrol Bakhtiar. Selepas jaringan ini menyaksikan aksi lebih agresif daripada kedua-dua pasukan di pamerkan bagi mencari tambahan gol.

Bersambung separuh masa kedua Indonesia mempamerkan penguasaan dan turut menyaksikan percubaan-percubaan berbahaya ke arah pintu gol Malaysia terutamanya daripada penyerang berbisa mereka Titus Bonai. Malaysia hampir menambah jaringan menerusi percubaan Asrarudin namun rembatannya tepat menuju ke arah penjaga gol Indonesia. Begitu juga dengan rembatan Irfan Fazail sebelum itu juga terus ke dakapan penjaga gol. Pada minit ke-57 Malaysia sekali lagi mendapat peluang keemasan apabila jolokan baik daripada Irfan gagal di sudahkan oleh Fakri Saarani. Kedudukan 1-1 ini kekal sehingga 90 minit dan juga masa tambahan sekaligus mengheret permainan hingga ke penentuan penalti.

Tendangan Gunawan yang terkena tiang di lihat mencerahkan peluang Malaysia. Namun Fakri Saarani gagal memanfaatkan peluang tersebut setelah rembatan lemahnya di selamatkan penjaga gol Indonesia. Khairul Fahmi kembali menceriakan kem Malaysia selepas berjaya menyelamatkan tendangan terakhir lawan. Kapten pasukan Baddrol Bakhtiar mengesahkan kemenangan 4-3 buat Malaysia walaupun tendangannya hampir-hampir di selamatkan penjaga gol Indonesia.

Ini merupakan kemenangan pingat emas keenam di menangi skuad bola sepak Malaysia dalam Sukan SEA selepas kali terakhir di perolehi pada 2009 di Loas.




No comments:

Post a Comment