Jaringan tunggal Fakri Saarani pada minit-minit terakhir perlawanan mengesahkan pentas final buat Malaysia dan hanya selangkah lagi untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada tahun 2009 di Laos. Dalam perlawanan separuh akhir yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno semalam, Malaysia berjaya menewaskan Myanmar 1-0 untuk membuat perhitungan dengan Indonesia di peringkat akhir bagi menentukan siapa yang bakal muncul pemenang pingat emas untuk edisi ke-26.
Ini merupakan pentas final ke-11 buat Malaysia sejak temasya ini bermula pada 1959 dan berjaya menjadi juara sebanyak lima kali. Pada perlawanan semalam skuad negara beraksi tanpa kehadiran jurulatih Ong Kim Swee dibangku simpanan kerana digantung satu perlawanan. Walaupun di separuh masa pertama Myanmar dilihat lebih banyak menguasai bola namun anak-anak buah Ong Kim Swee dapat mengimbangi permainan dan sekali sekala mencipta beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol. Pada minit ke-4 Malaysia mempunyai peluang untuk berada dihadapan apabila sepakan lambung Irfan Fazail berjaya dibaca penjaga gol Myanmar Thihasthu. Begitu juga tandukan yang dilakukan Fakri Saarani yang gagal disempurnakan sebaiknya setelah mendapat hantaran daripada rakan sepasukan.
Bersambung separuh masa kedua Malaysia bermula garang dan memperkemaskan setiap serangan. Kemasukan Izzaq Faris mengantikan Syahrul Azwari telah membuka ruang kepada Fakri Saarani menjaringkan gol kemenangan berharga buat Malaysia.
No comments:
Post a Comment