Peteh GANU Peteh...!!!
Selamanya Harimau Malaya

Piala FA : T-Team Kandas, Terengganu Mara



Nasib berbeza 2 pasukan dari Terengganu dalam saingan Piala FA musim ini apabila T-Team terkandas di suku akhir sementara pasukan Terengganu meneruskan perjuangan untuk mempertahankan kejuaraan musim lalu apabila layak ke separuh akhir. Terengganu berjaya mengenepikan cabaran Lions XII untuk mengiringi 3 lagi pasukan ke separuh akhir iaitu Kelantan, Kedah serta Sime Darby FC.

Di Kuala Terengganu, T-Team gagal mencipta sejarah untuk layak lebih jauh dalam saingan ini apabila tewas kepada Kedah dengan aggregat 1-2. Setelah mencatat keputusan seri di Alor Star pada perlawanan pertama Sabtu lalu momenton kecemerlangan tersebut gagal diteruskan dalam perlawanan kedua. Aksi permainan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah semalam banyak dikuasai Kedah tetapi kekebalan barisan pertahanan T-Team yang diterajui pemain import Bojan Petric berjaya menyekat barisan serangan pasukan pelawat daripada memasuki kawasan penalti.

Penyerang import Kedah Hamidan Mohammed meletakkan pasukannya di depan pada minit ke-64 apabila tenang membuat rembatan kaki kiri menewaskan Syamsuri Mustafa. Namun jaringan tersebut tidak bertahan lama apabila T-Team menyamakan kedudukan empat minit kemudian menerusi Azrul Hazran Amiludin. Hamidan Mohammed menjadi duri dalam daging apabila jaringannya pada minit ke-80 melalui tandukan hasil hantaran lintang rakan sepasukan memastikan Kedah menempah slot ke separuh akhir.

Sementara itu, dalam perlawanan kedua di Stadium Jalan Besar semalam Terengganu mengikat Lions XII dengan keputusan seri 0-0 setelah menang perlawanan pertama 1-0 di Kuala Terengganu untuk layak dengan aggregat 1-0. Sebaik permainan bermula Lions XII yang turun dalam misi mencari gol penyamaan mengasak bertali arus ke kubu Terengganu namun barisan pertahanan dapat mengimbangi setiap asakan tersebut. Malah dalam tempoh 45 minit separuh masa pertama benteng pertahanan Terengganu yang diketuai Muslim Ahmad begitu sibuk menghalang setiap asakan dan juga percubaan berbahaya Lions XII.

Pada minit ke-16 gawang Terengganu hampir dibolosi namun penyerang Lions XII Khairul Nizam gagal menanduk kemah hasil hantaran lintang Irwan Shah sekalipun sudah melepasi jangkauan Sharbinie. Di akhir separuh masa pertama Sharbinie mencemaskan kem Terengganu apabila gagal merembat kemas bola hantaran ke belakang Zubir tetapi mujur bola melencong keluar untuk memberi tendangan sudut kepada pihak lawan.

Bersambung separuh masa kedua Terengganu mula bangkit mengatur gerakan dan pada minit ke-61 hampir memecah kebuntuan gol apabila sepakan percuma Erison Da Silva berjaya ditepis penjaga gol Lions XII. Pergerakan Francis Forkey Doe juga sering disekat serta dibayangi benteng pertahanan Lions XII yang langsung tidak memberi ruang kepadanya untuk bergerak bebas. Terengganu akan bertemu pasukan Liga Perdana Sime Darby FC di peringkat separuh akhir pada 21 April dan 1 Mei ini.




No comments:

Post a Comment