Faiz Subri menjadi wira T-Team apabila menjaringkan gol kemenangan di minit-minit akhir permainan untuk mengesahkan tiket ke suku akhir Piala FA 2012. Perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah Itu menyaksikan T-Team menewaskan Pahang 3-2 dalam pertemuan pusingan kedua Piala FA.
Separuh masa pertama permainan agak perlahan dan tiada jaringan dapat dihasilkan kedua-dua pasukan. T-Team mempunyai 2 peluang terbaik untuk menghasilkan gol menerusi kapten pasukan Zairo Anuar dan juga Fadzli Shaari namun palang menjadi halangan. Berselang 4 minit separuh masa kedua Pahang berjaya membuka tirai jaringan menerusi Hazuan Daud yang membuat rembatan dari luar kotak penalti menewaskan Syamsuri Mustaffa. Tersentak dengan jaringan itu anak-anak buah Yunus Alif memperkemaskan permainan bagi mencari gol penyamaan dan hasilnya pada minit ke-55 Azrul Hazran bijak mencari peluang untuk meledak gol penyamaan. Pada minit ke-58 Pahang sekali lagi berada dihadapan apabila memperolehi gol kedua hasil dari sepakan sudut yang disempurnakan Azamuddin Akil terus menggegarkan gawang T-Team.
T-Team yang ingin melayakkan diri ke suku akhir setelah tersingkir awal musim lalu terus berusaha mencari gol penyamaan dan lima minit kemudian jaringan Fadzli Saari menceriakan Kem T-Team. Selepas itu aksi kedua-dua pasukan makin rancak dengan melancarkan serangan bertubi-tubi ke gawang masing-masing. Bagaimanapun nasib ternyata memihak kepada T-Team apabila Faiz Subri menjaringkan gol kemenangan. T-Team akan berdepan samada Kedah ataupun Perlis di suku akhir.
No comments:
Post a Comment