Keputusan yang di catatkan oleh kedua-dua pasukan dari Terengganu ini pada perlawanan pertama peringkat suku akhir semalam belum memberi keselesaan bagi menghadapi perlawanan kedua Selasa ini.
Terengganu yang melayan kunjungan Lions XII di Kuala Terengganu hanya mencatat kemenangan tipis 1-0 hasil jaringan Joseph Kalang Tie. Gol terhasil pada minit ke-65 apabila beliau merembat kencang bola di luar kotak penalti menewaskan Hyrulnizam Juma'at di gawang Lions XII. Terengganu yang turun sebagai pasukan pilihan mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol. Penyerang import dari Liberia Francis Forkey Doe nyaris merobek gawang lawan seawal minit pertama namun gagal menemui sasaran. Doe sekali lagi mendapat peluang pada minit ke-8 dan juga minit ke-87 namun rembatannya sekadar mengegar palang gol. Pada minit ke-54 Lions XII terpaksa bermain 10 orang apabila Haris Harun dilayankan kad merah setelah mengasari Doe di kawasan penalti. Selepas itu Terengganu mendominasi permainan namun tiada tambahan jaringan dapat dilakukan oleh anak-anak buah Mat Zan Mat Aris.
Sementara itu di utara tanah air, T-Team berjaya mengikat Kedah 0-0 di Stadium Darulaman. Keputusan ini sudah pasti memberi kelebihan dan keyakinan kepada anak-anak buah Yunus Alif untuk menerima kunjungan Kedah di Kuala Terengganu dalam perlawanan kedua nanti. Perlawanan seimbang dipamerkan kedua-dua pasukan dengan asakan demi asakan ke kubu lawan masing-masing namun keampuhan serta kekentalan benteng pertahan mengagalkan setiap serangan tersebut.
No comments:
Post a Comment